13 khasiat pengambilan Minyak Ikan selain membantu gangguan mental | Minyak ikan adalah salah satu makanan tambahan yang paling kerap dimakan. Ia kaya dengan asid lemak omega-3, yang sangat penting untuk kesihatan anda.

Sekiranya anda tidak makan ikan berminyak, pengambilan makanan tambahan minyak ikan dapat membantu anda mendapatkan asid lemak omega-3 secukupnya.

13 khasiat pengambilan Minyak Ikan selain membantu gangguan mental

Apa itu Minyak Ikan?

Minyak ikan adalah lemak atau minyak yang diekstrak dari tisu ikan.

Biasanya dihasilkan daripada ikan berminyak seperti ikan haring, tuna, ikan bilis, dan ikan tenggiri. Adakalanya ianya dihasilkan daripada hati ikan lain minyak hati ikan kod.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan 1-2 bahagian ikan setiap minggu. Ini kerana asid lemak omega-3 pada ikan memberikan banyak manfaat kesihatan, termasuk membantu melindungi daripada beberapa penyakit.

BACA JUGA : 11 manfaat kesihatan ikan Salmon yang mengagumkan

Namun, jika anda tidak makan 1-2 hidangan ikan setiap minggu, suplemen tambahan minyak ikan dapat membantu anda mendapatkan omega-3 yang mencukupi.

Sekitar 30% minyak ikan terdiri dari omega-3, manakala 70% bakinya terdiri daripada lemak lain. Sesetengah daripadanya juga biasanya mengandungi beberapa jenis vitamin A dan D.

Penting untuk anda ketahui bahawa jenis omega-3 yang terdapat dalam minyak ikan mempunyai manfaat kesihatan yang lebih besar daripada omega-3 yang terdapat di beberapa sumber tumbuhan.

Sumber omega-3 utama dalam minyak ikan adalah asid eikosapentaenoic (eicosapentaenoic acid, EPA) dan asid docosahexaenoic (docosahexaenoic acid, DHA), manakala sumber omega-3 utama dalam sumber tumbuhan pula adalah asid alpha-linolenic (ALA).

Walaupun ALA adalah asid lemak yang penting, EPA dan DHA mempunyai lebih banyak lagi manfaat kesihatan.

Penting juga untuk mendapatkan omega-3 yang cukup kerana diet orang barat telah menggantikan banyak omega-3 dengan lemak lain seperti omega-6. Nisbah asid lemak yang diubah ini boleh menyumbang kepada banyak penyakit. Berikut adalah 13 faedah kesihatan minyak ikan :

13 khasiat pengambilan Minyak Ikan selain membantu gangguan mental

1. Boleh Membantu Kesihatan Jantung

Penyakit jantung adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang makan banyak ikan mempunyai kadar penyakit jantung yang jauh lebih rendah.

Pelbagai faktor risiko penyakit jantung dapat dikurangkan dengan pengambilan ikan atau minyak ikan. Manfaat minyak ikan untuk kesihatan jantung termasuk:

  • Tahap kolesterol: Ia dapat meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL). Namun, tidak dapat membantu menurunkan kadar kolesterol buruk (LDL)
  • Trigliserida: Ia dapat menurunkan trigliserida sekitar 15-30%.
  • Tekanan darah: Walaupun dalam dos yang kecil, ia membantu mengurangkan tekanan darah induvidu tersebut dengan kadar yang tinggi.
  • Plak: Ia dapat mengelakkan plak yang menyebabkan arteri anda mengeras, dan juga menjadikan plak arteri lebih stabil dan lebih selamat pada mereka yang sudah menghidapinya.
  • Aritmia kronik: Pada mereka yang berisiko, ia boleh mengurangkan kejadian aritmia kronik. Aritmia adalah irama jantung yang tidak normal yang boleh menyebabkan serangan jantung dalam kes tertentu.

Walaupun suplemen tambahan minyak ikan dapat meningkatkan banyak faktor risiko penyakit jantung, tidak ada bukti yang jelas bahawa ia dapat mencegah serangan jantung atau strok.

Ringkasan : Makanan tambahan minyak ikan dapat mengurangkan beberapa risiko yang berkaitan dengan penyakit jantung. Namun, tidak ada bukti yang jelas bahawa ia dapat mencegah serangan jantung atau strok.

13 khasiat pengambilan Minyak Ikan selain membantu gangguan mental

2. Boleh Membantu Mengubati Gangguan Mental Tertentu

Otak anda terdiri daripada hampir 60% lemak, dan sebahagian besar lemak ini adalah asid lemak omega-3. Oleh itu, omega-3 sangat penting untuk fungsi normal otak.

Berdasarkan kajian, ia menunjukkan bahawa mereka yang mengalami gangguan mental tertentu mempunyai tahap darah omega-3 yang lebih rendah.

Menariknya, terdapat kajian menunjukkan bahawa suplemen tambahan minyak ikan dapat mencegah permulaan atau menambah baik beberapa gejala gangguan mental. Sebagai contoh, ia dapat mengurangkan kemungkinan gangguan psikotik pada mereka yang berisiko.

Di samping itu, pengambilan minyak ikan dalam dos tinggi dapat mengurangkan beberapa gejala skizofrenia dan gangguan bipolar.

Ringkasan : Makanan tambahan minyak ikan dapat memperbaiki gejala gangguan psikiatri tertentu. Kesan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan pengambilan asid lemak omega-3.

https://hellodoktor.com/wp-content/uploads/2018/04/berat-badan-naik-saat-puasa.jpg

3. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan

Obesiti atau kegemukan didefinisikan sebagai mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) lebih tinggi daripada 30. Di peringkat global, kira-kira 39% orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan, manakala 13% mengalami kegemukan. Jumlahnya lebih tinggi di negara yang berpendapatan tinggi seperti AS.

Kegemukan boleh meningkatkan risiko penyakit lain secara signifikan, termasuk penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan barah.

Makanan tambahan minyak ikan dapat meningkatkan komposisi badan dan faktor risiko penyakit jantung pada orang obes.

Tambahan lagi, beberapa kajian menunjukkan bahawa suplemen tambahan minyak ikan disertakan dengan diet atau senaman, dapat membantu menurunkan berat badan anda.

Walau bagaimanapun, tidak semua kajian menemui kesan yang sama.

Satu analisa dari 21 kajian menyatakan bahawa suplemen tambahan minyak ikan tidak mengurangkan berat badan pada individu yang gemuk tetapi mengurangkan lilitan pinggang dan nisbah pinggang ke pinggul.

Ringkasan : Makanan tambahan minyak ikan dapat membantu mengurangkan lilitan pinggang serta mengurangkan berat badan jika disertakan dengan diet atau senaman.

https://i2.wp.com/www.infopelajar2u.com/wp-content/uploads/2016/10/n-EYES-628x314.jpg?resize=628%2C314&ssl=1

4. Boleh Membantu Kesihatan Mata

Seperti otak anda, mata anda juga bergantung pada lemak omega-3. Bukti menunjukkan bahawa orang yang tidak mendapat cukup omega-3 mempunyai risiko penyakit mata yang lebih besar.

Tambahan pula, tahap kesihatan mata akan menurun pada usia tua, yang boleh menyebabkan degenerasi makula (AMD) penyakit yang berkaitan dengan usia. Pengamalan makan ikan dikaitkan dengan pengurangan risiko AMD, tetapi hasil pada suplemen minyak ikan kurang meyakinkan.

Satu kajian mendapati bahawa pengambilan minyak ikan dalam dos yang tinggi selama 19 minggu meningkatkan penglihatan pada semua pesakit AMD. Walau bagaimanapun, ini adalah kajian yang sangat kecil.

Dua kajian yang lebih besar mengkaji kesan gabungan omega-3 dan nutrien lain pada AMD. Satu kajian menunjukkan kesan positif, manakala satu lagi kajian tidak menunjukkan kesan. Oleh itu, hasilnya tidak jelas.

Ringkasan : Makan ikan boleh membantu mencegah penyakit mata. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada suplemen minyak ikan mempunyai kesan yang sama.

5. Boleh Mengurangkan Keradangan

Keradangan adalah cara sistem imun anda melawan jangkitan dan merawat kecederaan.

Walau bagaimanapun, keradangan kronik dikaitkan dengan penyakit serius seperti obesiti, diabetes, kemurungan, dan penyakit jantung.

Mengurangkan keradangan dapat membantu merawat gejala penyakit ini.

Oleh kerana minyak ikan mempunyai sifat anti-radang, ia dapat membantu merawat keadaan yang melibatkan keradangan kronik.

Sebagai contoh, pada individu yang mengalami tekanan dan kegemukan, minyak ikan dapat mengurangkan pengeluaran dan ekspresi gen molekul inflamasi yang disebut sitokin.

Tambahan lagi, suplemen minyak ikan dapat mengurangkan kesakitan sendi, kekakuan dan rawatan ubat pada orang dengan arthritis rheumatoid, yang menyebabkan sakit sendi.

Walaupun penyakit radang usus (IBD) juga disebabkan oleh keradangan, tidak ada bukti yang jelas menunjukkan sama ada minyak ikan dapat meningkatkan simptomnya.

Ringkasan : Minyak ikan mempunyai kesan anti-radang yang kuat dan dapat membantu mengurangkan gejala penyakit radang terutamanya rheumatoid arthritis.

6. Boleh Menjadikan Kulit Sihat

Kulit adalah organ terbesar di dalam badan anda dan ia mengandungi banyak asid lemak omega-3.

Kesihatan kulit boleh merosot sejajar hayat anda, terutama semasa usia tua atau apabila terlalu banyak terdedah kepada sinar matahari.

Disebabkan itu, terdapat beberapa penyakit kulit yang mungkin mendapat manfaat daripada suplemen minyak ikan termasuk psoriasis dan dermatitis.

Ringkasan : Kulit anda boleh menjadi rosak akibat penuaan atau terlalu banyak terdedah kepada cahaya matahari. Makanan tambahan minyak ikan dapat membantu mengekalkan kulit yang sihat.

https://api.time.com/wp-content/uploads/2019/05/pregnant-woman-pregnancy-language.jpg

7. Boleh Membantu Semasa Kehamilan dan Kehidupan Awal

Omega-3 sangat penting untuk pertumbuhan dan perkembangan awal.

Oleh itu, adalah penting bagi ibu untuk mendapatkan omega-3 yang cukup semasa mengandung dan menyusu.

Makanan tambahan minyak ikan pada ibu hamil dan menyusu dapat meningkatkan koordinasi tangan-mata pada bayi. Walau bagaimanapun, kesan pada peningkatan pembelajaran atau IQ masih tidak jelas.

Mengambil suplemen minyak ikan semasa kehamilan dan penyusuan juga dapat meningkatkan perkembangan visual bayi dan membantu mengurangkan risiko alergi.

Ringkasan : Asid lemak omega-3 sangat penting untuk pertumbuhan dan perkembangan awal bayi. Makanan tambahan minyak ikan pada ibu atau bayi dapat meningkatkan koordinasi mata-tangan, walaupun kesannya terhadap pembelajaran dan IQ tidak jelas.

8. Boleh Mengurangkan Lemak Hati

Hati memproses sebahagian besar lemak di badan anda dan secara tak langsung berperanan dalam peningkatan berat badan.

Penyakit hati semakin kerap berlaku – terutamanya penyakit hati berlemak tanpa alkohol (NAFLD), di mana lemak terkumpul di hati anda.

Makanan tambahan minyak ikan dapat meningkatkan fungsi hati dan keradangan dimana dapat membantu mengurangkan gejala NAFLD dan jumlah lemak di hati anda.

Ringkasan : Penyakit hati adalah perkara biasa pada individu yang gemuk. Makanan tambahan minyak ikan dapat membantu mengurangkan lemak di hati anda dan gejala penyakit hati berlemak tanpa alkohol.

https://d2ebzu6go672f3.cloudfront.net/media/content/images/bigstock-Woman-in-depression-27254636.jpg

9. Boleh Memperbaiki Simptom Kemurungan

Kemurungan dijangka menjadi penyebab penyakit kedua terbesar pada tahun 2030.

Menariknya, mereka yang mempunyai penyakit kemurungan major mempunyai kadar omega-3 dalam darah yang lebih rendah.

Kajian menunjukkan bahawa minyak ikan dan suplemen omega-3 dapat memperbaiki gejala kemurungan.

Lebih-lebih lagi, beberapa kajian menunjukkan bahawa minyak yang kaya dengan EPA membantu mengurangkan simptom kemurungan lebih banyak berbanding DHA.

Ringkasan : Makanan tambahan minyak ikan – terutamanya yang kaya dengan EPA – dapat membantu memperbaiki gejala kemurungan.

10. Boleh Meningkatkan Tumpuan dan Hiperaktif pada Kanak-kanak

Beberapa gangguan tingkah laku pada kanak-kanak, seperti gangguan kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD), melibatkan hiperaktif dan kekurangan tumpuan.

Memandangkan omega-3 membentuk sebahagian besar otak, amat penting untuk mendapatkannya agar gangguan tingkah laku dalam kehidupan awal dapat dicegah.

Makanan tambahan minyak ikan dapat meningkatkan hiperaktif, tumpuan, impulsif dan keagresifan pada kanak-kanak. Perkara ini dapat memberi manfaat kepada pembelajaran awal kehidupan.

Ringkasan : Gangguan tingkah laku pada kanak-kanak boleh mengganggu pembelajaran dan perkembangan. Makanan tambahan minyak ikan terbukti dapat membantu mengurangkan hiperaktif, kekurangan tumpuan, dan tingkah laku negatif yang lain.

11. Boleh Membantu Mencegah Gejala Kemerosotan Mental

Seiring bertambahnya usia, fungsi otak anda menjadi makin perlahan dan risiko penyakit Alzheimer anda meningkat.

Orang yang makan lebih banyak ikan cenderung mengalami penurunan fungsi otak yang lebih perlahan pada usia tua.

Walau bagaimanapun, kajian mengenai suplemen minyak ikan pada orang dewasa yang lebih tua tidak memberikan bukti yang jelas bahawa mereka dapat memperlambatkan penurunan fungsi otak.

Walaupun begitu, beberapa kajian yang sangat kecil menunjukkan bahawa minyak ikan dapat meningkatkan daya ingatan pada orang dewasa yang sihat dan tua.

Ringkasan : Orang yang makan lebih banyak ikan mengalami penurunan mental yang berkaitan dengan usia yang lebih perlahan. Namun, masih tidak jelas kesan terhadap suplemen minyak ikan dapat mencegah atau memperbaiki kemerosotan mental pada orang dewasa yang lebih tua.

12. Boleh Memperbaiki Simptom Asma dan Risiko Alergi

Asma boleh menyebabkan pembengkakan pada paru-paru dan sesak nafas, adalah menjadi kebiasaan pada bayi.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa minyak ikan dapat mengurangkan gejala asma, terutama pada usia awal.

Dalam satu tinjauan kepada hampir 100,000 orang, pengambilan hidangan ikan atau omega-3 didapati dapat mengurangkan risiko asma pada anak sebanyak 24-29%.

Tambahan pula, suplemen minyak ikan pada ibu hamil dapat mengurangkan risiko alergi pada bayi.

Ringkasan : Pengambilan minyak ikan dan ikan yang lebih tinggi semasa mengandung boleh mengurangkan risiko asma dan alergi pada kanak-kanak.

13. Boleh Meningkatkan Kesihatan Tulang

Semasa usia tua, tulang boleh kehilangan mineral pentingnya, menjadikannya lebih mudah patah. Ini boleh menyebabkan keadaan seperti osteoporosis dan osteoartritis.

Kalsium dan vitamin D sangat penting untuk kesihatan tulang, tetapi beberapa kajian menunjukkan bahawa asid lemak omega-3 juga memberikan manfaat kepadanya.

Mereka yang mempunyai pengambilan omega-3 yang lebih tinggi dalam darah mungkin mempunyai ketumpatan mineral tulang yang lebih baik (BMD).

Walau bagaimanapun, kesan suplemen minyak ikan dapat meningkatkan BMD masih tidak jelas.

Sejumlah kajian kecil menunjukkan bahawa suplemen minyak ikan mengurangkan penanda kerosakan tulang, yang dapat mencegah penyakit tulang.

Ringkasan : Pengambilan omega-3 yang lebih tinggi dikaitkan dengan kepadatan tulang yang lebih tinggi, dimana dapat membantu mencegah penyakit tulang. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada suplemen minyak ikan dapat memberikan manfaat.

Cara Pengambilan

Sekiranya anda tidak makan 1-2 bahagian ikan berminyak setiap minggu, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengambil suplemen minyak ikan.

Sekiranya anda ingin membeli makanan tambahan minyak ikan, terdapat pilihan yang terbaik di Amazon.

Berikut adalah senarai perkara yang perlu dipertimbangkan semasa mengambil suplemen minyak ikan:

  • Dos

Cadangan dos EPA dan DHA berbeza bergantung pada usia dan kesihatan anda.

WHO mengesyorkan pengambilan harian 0.2-0.5 gram (200-500 mg) gabungan EPA dan DHA. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu meningkatkan dos jika anda hamil, menyusui, atau berisiko menghidap penyakit jantung.

Pilih suplemen minyak ikan yang menyediakan sekurang-kurangnya 0.3 gram (300 mg) EPA dan DHA setiap hidangan.

  • Bentuk

Makanan tambahan minyak ikan terdapat dalam pelbagai bentuk, termasuk etil ester (EE), trigliserida (TG), trigliserida yang dibaharui (rTG), asid lemak bebas (FFA) dan fosfolipid (PL).

Jika badan anda tidak menyerap ester etil seperti yang lain, jadi cuba memilih suplemen minyak ikan yang terdapat dalam salah satu bentuk lain yang disenaraikan.

  • Kepekatan

Banyak makanan tambahan mengandungi sehingga 1,000 mg minyak ikan setiap hidangan – tetapi hanya 300 mg EPA dan DHA.

Baca label dan pilih makanan tambahan yang mengandungi sekurang-kurangnya 500 mg EPA dan DHA setiap 1,000 mg minyak ikan.

  • Keaslian

Sejumlah makanan tambahan minyak ikan tidak mengandungi apa yang mereka katakan.

Untuk mengelak daripada produk ini, pilih suplemen yang diuji pihak ketiga atau mempunyai keaslian yang dijamin dari Organisasi Global untuk EPA dan DHA Omega-3s (GOED).

  • Kesegaran

Asid lemak omega-3 mudah terdedah terhadap pengoksidaan, yang menjadikannya tengik.

Untuk mengatasinya, anda boleh memilih makanan tambahan yang mengandungi antioksidan, seperti vitamin E. Juga, jauhkan makanan tambahan anda dari cahaya – idealnya di dalam peti sejuk.

Jangan gunakan suplemen minyak ikan yang mempunyai bau tengik atau sudah usang.

  • Kelestarian

Pilih suplemen minyak ikan yang mempunyai perakuan kelestarian, seperti dari Marine Stewardship Council (MSC) atau Dana Pertahanan Alam Sekitar.

Pengeluaran minyak ikan dari ikan bilis dan ikan kecil yang serupa lebih mampan berbanding dengan ikan besar.

  • Masa

Lemak makanan lain membantu penyerapan asid lemak omega-3.

Oleh itu, lebih baik mengambil suplemen minyak ikan anda dengan makanan yang mengandungi lemak.

Ringkasan : Semasa membaca label minyak ikan, pastikan untuk memilih makanan tambahan dengan kepekatan EPA dan DHA yang tinggi dan yang mempunyai perakuan keaslian dan kelestarian.

13 khasiat pengambilan Minyak Ikan selain membantu gangguan mental

Kesimpulan

Omega-3 menyumbang kepada perkembangan otak dan mata yang normal. Ia juga melawan keradangan dan dapat membantu mencegah penyakit jantung dan penurunan fungsi otak.

Oleh kerana minyak ikan mengandungi banyak omega-3, mereka yang berisiko mengalami gangguan ini dapat memanfaatkannya.

Walau bagaimanapun, makan makanan keseluruhan selalunya lebih baik daripada mengambil makanan tambahan, dan makan dua bahagian ikan berminyak setiap minggu dapat memberi anda omega-3 yang cukup.

Sebenarnya, ikan sama efektifnya dengan minyak ikan – jika tidak terlebih – untuk mencegah banyak penyakit.

Walaupun begitu, suplemen minyak ikan adalah alternatif yang terbaik jika anda tidak makan ikan.

Sumber :
www.healthline.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here