ctttrhalangorgtu
Gambar Hiasan Carian Google

Saya berusia 26 tahun dan sedang belajar di tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Ada seorang kawan lelaki yang ingin menjadikan saya isterinya. Masalahnya orang tua saya tidak merestui hubungan kami.

Pada saya, dia cukup sempurna dari segi agama. Saya yakin dia mampu membimbing ke jalan yang benar. Disebabkan itu, dia tidak mahu berkawan lama tanpa ikatan yang sah dan ingin segera bernikah.

Dia lebih muda daripada saya, tetapi sudah bekerja sebagai jurutera. Perwatakannya sangat sederhana. Contohnya, dia hanya mempunyai kereta lama dibeli secara tunai.

Katanya, dia enggan membeli kereta baru kerana tidak mahu berhutang dengan bank yang kebanyakannya mengamalkan riba.

Ibu saya pula seorang yang memandang harta. Ibu tidak setuju saya berkawan dengannya, malah mengatakan dia seorang yang terlalu kurus, berkereta buruk dan selekeh.

Ibu bapa saya tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar membuatkan saya ingin memiliki teman hidup soleh sebagai pembimbing.

Dia mengajak saya bernikah, tetapi yakin orang tua akan melarang terutama ibu yang langsung tidak mahu mendengar penjelasan apabila saya menyatakan hasrat ingin berkahwin.

Ini kerana dia tidak bersedia memberikan wang hantaran seperti yang ibu saya mahu bakal menantunya sediakan, termasuk majlis besar-besaran.

Dia hanya ingin menikah tanpa hantaran membebankan, tanpa majlis besar dan persandingan.

Jika saya tetap mahu bersanding, dia mengenakan syarat supaya saya berpurdah, sedangkan ia tentunya akan mendapat tentangan daripada ibu saya yang tidak bertudung dan agak seksi.

Sikapnya yang memandang harta dan terlalu percaya kepada benda tahyul seperti bomoh dan sihir menyebabkan sukar menjadikan kelebihan kawan beragama sebagai alasan untuk saya berkahwin.

Saya perlu buat keputusan segera kerana ada mualaf Cina melamar kawan saya itu untuk anaknya.

Mualaf itu memberi gambar anaknya kepada kawan saya untuk membuat pertimbangan, yang nyata pada pandangan saya mualaf itu lebih sempurna daripada saya kerana anaknya berpurdah dan menutup aurat sepenuhnya dan hanya perlu sediakan mas kawin untuk bernikah.

Saya keliru sama ada perlu bernikah tanpa pengetahuan ibu bapa atau melepaskan si dia pergi begitu saja? Saya tidak mahu kehilangan dia, tetapi pada masa sama saya juga tidak mahu membelakangkan keluarga saya.

Insan Musykil
Pantai timur

Memandangkan perkahwinan membabitkan pihak keluarga, anda tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri.

Saya melihat tidak ada cacat celanya pasangan anda itu. Bagaimanapun, pihak ibu nampaknya agak berat untuk membenarkan perhubungan anda dengan teman terbabit.

Justeru, ada baiknya anda berbincang secara baik dengan ibu anda. Seboleh-bolehnya juga mendapat pandangan bapa sebagai wali.

Jika kedua-dua mereka masih tidak setuju, anda nampaknya tidak dapat lagi meneruskan hubungan sehingga ke jenjang pelamin.

Ia juga bergantung kepada teman lelaki terbabit sama ada dia mampu memenangi hati ibu bapa anda atau masih ingin meneruskan hubungan dengan anda dalam keadaan sekarang.

Bagi saya hanya jodoh yang akan menemui anda berdua setakat ini. Bagaimanapun, jika dia memilih berkahwin dengan orang lain, tentu anda tidak dapat menghalangnya.

Anda hendaklah bersabar dalam keadaan itu. Usaha dan doa kepada Allah supaya mendapat jodoh terbaik serta membuka pintu hati ibu bapa untukmenurut ajaran Islam sebenar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here