Datuk Seri Sunny Ung (baju hijau) cuba memakaikan baju Melayu kepada salah seorang anak angkatnya di Pasaraya Mydin Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU, 11 Julai: Dermawan berbangsa Cina, Datuk Seri Sunny Ung sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila mengikis perbezaan kaum dan agama dengan membawa seramai 150 anak angkatnya untuk membeli belah persiapan raya di Pasaraya Mydin, di sini hari ini.

Lengkap berpakaian baju Melayu, Sunny dilihat muncul seawal jam 8 pagi bagi menunggu kumpulan anak angkatnya sambil ditemani dua anak lelakinya, Adrian, 22, dan Andrie, 24.

Meskipun dikategorikan sebagai ahli perniagaan yang berjaya, Sunny memberitahu dia sesekali tidak akan membiarkan golongan miskin atau anak yatim hidup dalam kesusahan apatah lagi menjelang sambutan hari raya tidak lama lagi.

“Kita hidup dengan mencari rezeki daripada pemberian Tuhan, tetapi dengan sedikit pemberian kita boleh mencipta satu kehidupan bagi mereka (golongan miskin dan anak yatim).

“Apa salahnya kita memberi kepada mereka yang susah kerana saya percaya setiap perbuatan baik akan mendapat balasan yang setimpal,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Sunny berkata dia berharap ada NGO atau mereka yang lebih berkemampuan turut melakukan kerja-kerja amal terutamanya membabitkan anak yatim dan ibu tunggal miskin.

Katanya, masih ada ramai lagi mereka yang hidup dalam kesempitan dan mereka perlu dibantu termasuk memberi peluang kepada mereka memulakan hidup baru.

Ahli perniagaan berbangsa Cina, Datuk Seri Sunny Ung (baju hijau tengah) bergambar bersama 150 anak angkatnya selepas membeli belah persiapan raya di Pasaraya Mydin hari ini.
Ahli perniagaan berbangsa Cina, Datuk Seri Sunny Ung (baju hijau tengah) bergambar bersama 150 anak angkatnya selepas membeli belah persiapan raya di Pasaraya Mydin hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan, Senator Mumtaz Md Nawi yang mewakili Menteri Besar Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Sunny Ung yang tidak jemu menabur bakti khususnya dengan membantu golongan miskin dan anak yatim.

Beliau berkata sudah tentu dalam keadaan ekonomi yang meruncing sekarang golongan miskin dan anak yatim amat memerlukan sumbangan daripada pihak yang lebih mampu.

“Saya berharap rezeki mereka yang memberikan sumbangan ini akan mendapat balasan baik dan semakin bertambah.

“Bagi orang Islam sumbangan seperti ini sudah tentu mendapat keberkatan. Bagi pihak kerajaan negeri saya yakin tiada pihak yang akan menolak sekiranya ada kerjasama seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here