rakyat kelantanFenomena mengejutkan telah berlaku di Kelantan, sebagai sebuah negeri yang mempunyai komposisi Melayu paling ramai di Malaysia yang mempunyai pelajar Melayu mempelajari bahasa Cina paling banyak di dalam negara.

The Straits Times Singapura melaporkan menjadi kebiasaan apabila melihat masyarakat Melayu menghantar anak mereka ke sekolah Cina atau menghadiri kelas bahasa Cina yang diadakan di kelas agama.

Masyarakat Kelantan menuruti jejak langkah bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menghantar lima cucunya ke sekolah Cina.

Nik Aziz adalah contoh di mana menggalakkan generasi muda Kelantan mempelajari bahasa Cina.

Kelantan mempunyai populasi seramai 1.6 juta dengan 95 %  terdiri daripada masyarakat Melayu, manakala bakinya adalah Siam, Cina, dan India.

Walaupun di seluruh negara ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina dan menghadiri kelas tuisyen, tumpuan pelajar Melayu di Kelantan lebih tinggi.

Akhbar berkenaan yang membuat tinjauan di sekolah agama Kelantan turut melihat pelajar perempuan dengan purdah dan baju kurung belajar bahasa Cina dan bertutur serta menulis dalam Mandarin.

Mereka mempelajari kelas bahasa Cina di Sekolah Rendah Agama Tarbiyah Mardhiyah yang diajar oleh Wang Yin Kang, Cina Muslim dari Wilayah Yunan di China.

Sebahagian pelajar Wang adalah ahli Persatuan Bahasa Cina yang turut mengambil kelas drama dan bertutur dialog dalam bahasa Mandarin dengan diselia oleh Wang.

Akhbar berkenaan turut melaporkan kebanyakan masyarakat Melayu turut mengikut peribahasa,”tuntutlah ilmu hingga ke negeri China.”

Kerajaan negeri Kelantan juga memainkan peranan mereka dalam mencetuskan fenomena itu, dengan membiayai kelas Mandarin di sekolah apabila menghantar tiga guru Melayu-Islam belajar di China pada 2009.

Kerajaan negeri Kelantan turut mengambil guru dari China untuk mengajar bahasa Mandarin di sekolah.

Walaupun statistik pelajar Melayu belajar di sekolah vernakular itu sukar ditemui, namun Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata jumlah berkenaan agak besar.

Hu yang menyertai sayap bukan Islam parti berkenaan mendedahkan antara 20% hingga 50% populasi pelajar di 15 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di Kelantan adalah Melayu.

The Straits Times turut memetik Hu sebagai berkata sekolah rendah di Rantau Panjang mempunyai dua pertiga pelajar Melayu.

Ia adalah perbezaan terbesar dengan negeri lain di Malaysia apabila secara puratanya hanya 10% pelajar Melayu mengikut kelas bahasa Cina di sekolah vernakular berkenaan.

Penyelidik, Heng Buai Chin berkata kerajaan Kelantan menyokong pelajar Melayu memasuki sekolah Cina bagi mewujudkan integrasi antara kaum.

“Pelajar Melayu di sekolah vernakular Cina lebih terbuka menerima budaya Cina seperti wayang, mengira, dan berfikir dalam bahasa Cina,” katanya dipetik akhbar berkenaan.

Wang, 51, mengajar Mandarin kepada 160 pelajar seminggu dan telah menetap di Kelantan sejak 18 tahun.

Beliau memiliki diploma dari Timur Tengah mempelajari bahasa Arab dan memutuskan untuk mengajar bahasa Arab dan Mandarin di beberapa sekolah agama.

“Saya terkejut pada mulanya apabila pelajar Melayu mahu mempelajari Mandarin. Kemudian saya sedar ia meluaskan peluang kerjaya mereka,” kata Wang.

“Semua sedar China sedang pesat membangun dan pelaburannya ada di mana-mana,” katanya.

Pelajar tingkatan lima, Wan Ashikin Ismail berkata kepada Straits Times bahawa sahabat karibnya adalah berbangsa Cina dan mereka bertutur Mandarin.

“Saya tidak dilayan berbeza oleh pelajar dan guru. Saya turut dimotivasikan supaya berkarya,” kata pelajar berusi 16 tahun itu yang bercita-cita menjadi novelis Cina. – 7 Oktober, 2013.

Former world bank president pun nasihat american students to learn mandarin. Tak mustahil Kelantan akan bermaju pada masa depan. Syabas!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here