Anggota Bomba memadamkan api yang membakar 85 peratus bahagian kediaman Zainab.
Anggota Bomba memadamkan api yang membakar 85 peratus bahagian kediaman Zainab.

PASIR MAS – “Akhirnya, tercapai hasrat adik, nak bakar rumah ibu,” kata anak ke tiga dari tujuh beradik, selepas mendapati rumah ibunya di Kampung Kasar, hangus pada jam 10.45 pagi, semalam.

Raihan Abdul Rahman, 50, berkata, dia mengesyaki adik bongsunya membakar rumah, kerana sebelum ini suspek sering mengugut ibunya, Zainab Ahmad, 65.

Raihan berkata, adik lelaki yang berusia 30 an itu, mengugut mahu membakar rumah jika ibu tidak mengikut kemahuan atau enggan memberinya wang.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya, dua hari sebelum kejadian, malah dia turut menggeledah bilik dalam rumah berkenaan.

“Beberapa hari sebelum kejadian, ibu hubungi saya dan dia kata rasa tak tenteram, maka saya bawanya tinggal bersama di Kampung Lati.

“Jika tidak kerana itu, saya pasti ibu mungkin akan menjadi mangsa dalam kebakaran ini,” katanya.

Raihan berkata, mereka mengalami kerugian hampir RM240,000 memandangkan semua barang dalam rumah pusaka yang diduduki sejak 15 tahun lalu terbakar sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak dapat mengesan lokasi adiknya, selepas kebakaran ini berlaku.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera dengan kekuatan lima anggota.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati rumah berkenaan hangus 85 peratus namun kami berjaya mengawal api daripada merebak, 13 minit kemudian.

“Punca dan nilai kerugian yang ditanggung masih dalam siasatan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

“Kita  tidak pasti sama ada wujud unsur sabotaj seperti mana yang didakwa oleh mangsa, namun kita akan menyiasat kejadian ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here