wanitasaudimemanduLARANGAN kerajaan Saudi mengharamkan wanita memandu dikuatkan lagi dengan kenyataan ulama terkemuka yang mendakwa memandu boleh memudaratkan kesihatan.

Syeikh Saleh al-Lohaidan dalam satu wawancara dipaparkan menerusi laman sesawang sabq.org, menyokong kenyataan itu selepas mengetahui kajian perubatan menunjukkan memandu boleh memberi kesan secara automatik kepada ovari dan pelvis wanita.

Komen itu diperoleh dua tahun selepas laporan saintifik mendakwa, setelah larangan itu direhatkan sementara, lebih ramai lelaki dan wanita Saudi beralih kepada homoseksual dan pornografi.

Kesimpulan mengejutkan itu dilaporkan Majlis Al-Ifta’ Al-A’ala pada 2011 iaitu majlis tertinggi agama yang bekerja sama dengan Kamal Subhi, seorang bekas profesor Universiti King Fahd.

Dalam laporan tersebut, wanita memandu cenderung mencetuskan peningkatan dalam pelacuran, pornografi, homoseksual dan perceraian.

Jika larangan dimansuhkan, wanita di kerajaan Islam itu dikhuatiri akan hilang dara dalam tempoh 10 tahun.

Tindakan Saudi dipuji: PBB

Setelah Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meneliti laporan Saudi, hanya sebilangan kecil golongan minoriti menimbulkan kebimbangan berkenaan negara itu yang dikatakan dengan menindas hak asasi manusia.

Dalam mesyuarat di Geneva yang dihadiri 120 negara, lebih 80 negara memuji tindakan Saudi antaranya Kanada, United Kingdom dan Republik Czech.

Menurut pemerhati PBB, Pakistan memuji Saudi yang menggalakkan perlindungan ke atas hak wanita dan kanak-kanak manakala, Perancis memuji dengan mengatakan kemajuan kerajaan dibantu peranan wanita dalam masyarakat.

Bagi Mauritania yang masih mengamalkan penghambaan, mereka memuji Saudi kerana sentiasa berusaha mengukuhkan hak asasi manusia dan pujian diberi dari segi kemajuan sosioekonomi dan penyertaan wanita di semua peringkat dalam masyarakat.

Pengharaman seperti menafikan hak wanita: NGO

Pengarah Amnesty International Timur Tengah dan Afrika Utara, Philip Luther berkata, pengharaman wanita memandu pada abad ke-21 ini amat menakjubkan kerana pihak berkuasa Saudi terus menafikan hak wanita di sisi undang-undang.

“Mengharamkan wanita memandu sememangnya satu diskriminasi dan merendahkan martabat wanita. Ia harus dimansuhkan segera.

“Daripada terus melaksanakannya, adalah lebih baik pihak berkuasa menghentikan larangan bagi memastikan tiada lagi wanita yang ditahan dan dihukum hanya kerana melakukan kesalahan memandu,” katanya.

Golongan lelaki bantu berkempen

Larangan Saudi mengharamkan wanita memandu bukan sahaja ditentang golongan wanita. Tetapi ia turut dibantu golongan lelaki yang nyata membantu isteri, adik dan saudara perempuan walaupun secara sembunyi.

Sejak kempen mula dilancarkan, mereka membantu dari segi menghasilkan video dan memuat naik di internet serta melindungi wanita yang sedang berkempen.

Aktivis dan pelajar jurutera di Riyadh, Abdullah al- Bilassi, 23 berkata, beliau turut aktif berkempen kerana sudah bosan mendengar lelaki di negara itu melarang wanita memandu.“Masalah ini adalah stereotaip dalam budaya masyarakat Arab. Kami menentang larangan membelakangkan hak asasi wanita.

“Memandu adalah hak asas, tetapi saya tidak tahu mengapa masyakat menentangnya,” katanya.

Walaupun sehingga kini tiada undang-undang sah melarang wanita memandu di Saudi, tetapi pihak berkuasa masih tidak mengeluarkan lesen kepada wanita dan kebanyakan wanita ditahan kerana melakukan kesalahan memandu di sana adalah mereka yang mempunyai lesen antarabangsa.

Bagi Ali al-Hattab dari Jeddah, pemerintahan monarki menggunakan agama melarang wanita daripada memandu.

“Wanita adalah ibu, anak, isteri, saudara perempuan dan mereka adalah individu penting dalam masyarakat. Jadi, apabila hak mereka terjejas, kesemua hak dalam masyarakat akan sama terlibat.

“Mereka tidak mahu wanita memandu kerana ia boleh membawa kepada pembaharuan politik,” katanya.

Video Youtube ‘No Woman, No Drive’ hits

Seorang artis dan aktivis sosial, Alaa Wardi turut memuat naik video di Youtube bertajuk ‘No Woman, No Drive’, yang dinyanyikan semula berdasarkan lagu asal No Woman, No Cry dendangan Bob Marley.

Sejak dipaparkan 26 Oktober lalu, video sindiran berdurasi 4:15 saat itu memprotes larangan wanita memandu ditonton lebih lapan juta penonton di seluruh dunia.

“Saya jarang mendengar muzik, tetapi ketika menyambung pelajaran di Amerika Syarikat sebuah lagu yang dinyanyikan seorang penyanyi dari Jamaica menarik perhatian saya.

“Saya mengambil keputusan menyanyikan semula dengan lirik sesuai dan berkaitan dengan budaya saya di Saudi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here