Apakah Yang Mendorong Untuk Saya Berkhidmat Untuk Ummah? Adakah Saya menyesal dengan Keterlibatan ini?

Ketika saya merancang untuk bersara awal, langsung tidak terlintas dalam fikiran saya untuk mengasaskan Baitus Solehah atau berkhidmat untuk ummah. Saya membuat keputusan untuk bersara awal kerana keadaan kesihatan saya.

Remaja Terlanjur Baitus Solehah

Sebelum membuat pilihan untuk bersara, 3 tahun berturut-turut saya mendapat cuti sakit selama 180 hari dalam tempoh satu tahun. Saya telah menjalani beberapa siri pembedahan sendi kaki dan masalah jantung.

Saya fikir, jika terus berada dalam perkhidmatan awam, tetapi selalu sakit, ia merugikan pihak lain terutama kerjaya sebagai pendidik, nama dalam senarai perjawatan tetapi sering cuti sakit. Adalah lebih baik saya bersara, kekosongan jawatan boleh diisi oleh orang lain.

Sebaik saya bersara, masa saya difokuskan sepenuhnya bersama laman sesawang halaqah.net. Di sini saya kasih dan sayang ditumpahkan. Menyantuni para pelayar halaqah.net yang terdiri dari pelbagai golongan. Setiap mereka mempunyai masalah dalam latar yang berbeza. Masalah para isteri bekerjaya, poligami, siswa siswi, pendidikan, ibadah, tauhid, akhlak, termasuk remaja.

Dalam selitan ribuan masalah yang dikongsikan ada remaja yang terlanjur. Mereka meluahkan kepada saya masalah yang dihadapi. Permulaan, saya mencadangkan mereka ke rumah perlindungan lain. Namun kebanyakkan rumah perlindungan agak tertutup dan selalu penuh.

Ditambah pula untuk tinggal di rumah perlindungan mereka perlu membayar sejumlah kos.

Satu yang Allah lintaskan dalam hati saya, ‘kenapa Allah beri hadiah kepada saya, dan saya nak berikan hadiah itu kepada orang lain?’ Sebenarnya Allah datangkan masalah kepada remaja itu, dan ia diceritakan kepada saya untuk bantuan, adalah hadiah Allah kepada saya jika saya ada usaha membantunya. Dia datang berkongsi masalah dan meminta untuk dibimbing bertaubat. Jadi kenapa saya tak nak bantu dia?

Ini adalah sebahagian usaha dakwah juga. Usaha membimbing orang orang yang ingin bertaubat dan berubah. Ya, mereka dah melakukan kesilapan, mereka sudah terlanjur hamil, apakah pintu taubat sudah tertutup untuk mereka?

Jenuh kita berdakwah dengan pemuda pemudi dengan mengajak solat, mengajak tutup aurat dan sebagainya, tapi mereka tak nak sebab hati belum terbuka nak berubah. Sedangkan remaja yang sudah terlanjur ini, mereka yang dah insaf, tersedar akan salah silap mereka, mereka datang kepada kita, kenapa kita tak nak bimbing dan tarbiyah?

Apabila mereka datang kepada kita untuk minta dibimbing bertaubat dan berubah, sudah pasti kita akan mulakan dari akidahnya, fardhu ainnya dan akhlaknya. Kita tanam semula iman dalam jiwanya, kita ajar semula taharah, wudhuk dan solatnya. Kita ajar dia membaca al-quran agar jiwanya yang resah kembali tenang. Kita ajak dia untuk menutup aurat dengan sempurna dan kita cuci hatinya agar bersih bagi menghasilkan akhlak mulia.

Alangkah mudahnya jalan-jalan untuk saya berdakwah. Tanpa perlu saya keluar dari rumah. Atas peluang yang Allah beri inilah saya terima remaja terlanjur untuk dibantu dan dibimbing. Selain membantu menutup aibnya dan menjaga maruah keluarga.

Bermula dengan satu orang, dan satu orang sehingga dalam satu masa ada 3 orang menceritakan masalah yang sama. Saya pula suka berkongsi kisah mereka untuk dijadikan iktibar kepada masyarakat. Saya berfikir, kenapa tidak saya war-warkan usaha untuk membantu lebih ramai remaja bermasalah begini? Dan nak buat kerja ini mesti ada ilmu dan pengetahuan. Saya mula bertemu beberapa pihak tertentu untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan kesihatan, makanan dan keselamatan penghuni Baitus Solehah. Kertas kerja penubuhan Baitus Solehah saya siapkan dengan mudahnya setelah mempunyai pengalaman awal sebelumnya.

Arus kehidupan zaman ini yang telah jauh menyimpang dari ajaran agama telah menggalakkan perzinaan. Lebih ramai remaja terlibat. Yang menanggung akibatnya perempuan, yang terlepas lelaki. Yang perempuan pulak, selagi tidak ada kesan dan akibat, sudah pasti berzina itu menjadi rutin dan santapan harian. Hanya kerana telah hamil, baru mereka sentap dan tersedar. Hamil tanpa suami adalah pengalaman paling kejam untuk mereka lalui. Apabila sudah hamil, fikiran mereka keliru, emosi bercelaru dan potensi untuk mereka bertindak luar biasa adalah tinggi. Mereka jadi takut dan mula sedar akan kesilapan. Mereka mula mencari iman.

Usaha atas iman inilah yang saya usahakan,menyelamat, membimbing mereka mereka yang telah tersungkur untuk bangun semula. Tak kan kita nak biar dia terus terguling setelah tersungkur tadi.Dan inilah peranan kita dalam ummah,
Kita mesti prihatin dan ambil peduli dengan ummah yang makin rosak, jika kita tidak bantu. Yang membuat jalan-jalan menghampiri zina ramai dan aktif, bermakna manusia makin ramai yang rosak, dan jika yang telah rosak kita tidak selamatkan bagaimana nanti dunia dipenuhi oleh mereka yang rosak sahaja.

Menyelamatkan, membimbing dan mentarbiyah mereka yang insaf dan sedar adalah salah satu usaha dakwah juga. Allah beri peluang untuk kita beramal soleh. kenapa tak nak rebut? Ini sebenarnya jalan jalan menuju keredhaan Allah. Rebutlah peluang ini…

Sekelumit pun tidak ada rasa kesal dalam jiwa saya untuk membantu mereka yang ingin bertaubat dan berubah.

Kenapa saya usahakan Baitus Solehah tanpa sebarang bayaran? Ini memenuhi kehendak dakwah. Jika saya kenakan bayaran, bagaimana mereka yang tidak mampu biaya dan tidak ada duit? Bagi saya jihad saya kecil saja, saya tidak pertaruhkan nyawa di medan perang. Jihad saya cuma sedikit keselesaan dan privacy. Saya usahakan mengikut kemampuan, memanafaatkan segala sumber yang ada untuk membantu ummah.

Ini saja jalan-jalan mudah untuk saya menuju keredhaan Allah. Maka saya berharap Allah kurniakan kepada saya keelokkan pandangan kepada perkara-perkara yang membawa keredhaanNYA. Terhindar dari fitnah yang merosakkan dan mendukacitakan.

Sumber: Baitus Solehah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here