Kita perlu jelas dengan satu perkara; rakyat sudah bertahun-tahun mengkritik Perdana Menteri Najib Razak. Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah yang terakhir menyertainya.

Ketika Mahathir berkata yang beliau rasa “bersendirian” dalam mengkritik Najib, beliau telah menjadikan negara berbelah bahagi. Mahathir mungkin satu-satunya tokoh Umno Baru yang mengkritik parti itu secara terbuka, namun rakyat telah melakukannya selama berdekad. Mahathir kini merasai sendiri apa yang dilakukannya dahulu, dan diabaikan.

Zaman Pemerintahan Mahathir

Tidak sedikit rakyat yang mengalu-alukan penyertaan Mahathir untuk menyuarakan kemarahan mereka ke atas kerajaan Najib. Kerajaan Umno Baru telah mengabaikan kebimbangan rakyat, menghabiskan berbilion ringgit untuk projek besar yang sia-sia dan tidak perlu bertanggungjawab kepada sesiapa.

Mahathir suatu ketika dahulu menggunakan undang-undang untuk menutup mulut pengkritiknya di bawah Operasi Lalang. Najib pula memiliki Akta Hasutan dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota). Jadi, apa yang baru?

Selama beberapa hari ini, Umno Baru menjadi lebih bertenaga. Berbanding serangan Mahathir kepada Najib, kini individu-individu yang pernah diserang Mahathir dahulu menggunakan peluang untuk membalasnya.

Individu pertama adalah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Universiti Rafidah Aziz. Ketika pertelingkahan dengan Mahathir beberapa tahun lalu, Mahathir telah menuduhnya “berbohong” dalam kontroversi “permit AP (approved permit)”.

Dalam satu wawancara berhubung penyalahgunaan AP, Mahathir ditanya, “Bagaimana untuk menghentikan penyalahgunaan AP?” Jawapannya adalah: “Senang sahaja. Singkirkan menteri (Perdangangan Antarabangsan dan Industri Rafidah Aziz).”

Kini adalah waktu membalas dendam. Rafidah telah menyatakan yang beliau menyokong Najib.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Sabri Yaakob bukanlah nama yang asing dengan kontroversi. Beliau mengaitkan setiap perkara dengan kaum.

Kali ini beliau menggunakan taktik “menyalahkan kaum” yang sama terhadap Mahathir. Beliau menyalahkan Mahathir kerana memulakan manipulasi persempadanan semula selepas Pilihanraya Umum 1999. Menurut Ismail, Mahathir mengubah kerusi majoriti Melayu kepada kerusi campuran kerana sudah hilang sokongan orang Melayu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin adalah seorang lagi yang menjadi sasaran Mahathir ketika pemerintahan Abdullah Badawi. Majalah Time Asia pernah melaporkan yang Mahathir mensasarkan Khairy, timbalan ketua pemuda ketika itu, kerana sering mempengaruhi bapa mertuanya dalam soal pentadbiran negara. Ia amat menjejaskan kempen anti-nepotisme oleh Abdullah.

Kini Khairy sudah pun mengisytiharkan sokongannya terhadap Najib.

Politik Malaysia, seperti yang ditunjukkan oleh Umno Baru, menggunakan kaum, agama dan Raja-raja untuk melaksanakan dasar pecah dan perintah terhadap warganya.

Kita perlu memberi kredit kepada Mahahthir di atas pendiriannya terhadap raja-raja. Beliau terganggu dengan ketidakadilan dan jenayah yang dilakukan oleh golongan diraja terhadap orang biasa. Beliau tahu jika ia berterusan, rakyat akan bangkit menentang. Justeru beliau mengehadkan kuasa raja-raja dan memberitahu yang mereka tidak melangkaui undang-undang.

Baru-baru ini, seorang Sultan yang dikatakan pernah “dibantu” Mahathir berkata, “Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang sangat rajin dan saya sangat berbangga dengan beliau. Marilah berdoa agar kepimpinannya kekal dan semua rakyat harus menyokongnya, jangan mengkritik tentang perkara yang kita sendiri tidak tahu.”

Namun rakyat tahu apa isunya yang sebenar, dan penyelesaiannya bukanlah Najib. Beliau adalah sebahagian daripada masalah, korupsi yang membarah dalam Umno Baru. Jika Mahathir mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, beliau patut menyokong pembangkang dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan. Itu akan menjadi bukti bahawa beliau berada di pihak rakyat.

– oleh Mariam Mokhtar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here