PETALING JAYA: Komuniti Orang Asli sering menerima layanan buruk berbanding kaum lain di negara ini.

Mereka mungkin berstatus bumiputera namun selalunya mereka dilihat merempat di tanah sendiri.

Orang Asli Di Malaysia

Selama berdekad, komuniti ini telah dipinggirkan dari pembangunan sehingga mereka sukar mendapat kemudahan asas ― penjagaan kesihatan, kemudahan kebersihan dan pendidikan contohnya.

Tak hairanlah Orang Asli hanya memiliki tempuh hayat sepanjang 53 tahun kerana mereka ini dilayan dengan buruk sekali.

Aktivis Orang Asli Siti Zabedah Kasim menyuarakan rasa terkejut tentang laporan jururawat kerajaan yang didakwa enggan memberi layanan kepada Orang Asli dan berkata mereka “kotor” dan “tak tahu adab”.

“Orang Asli dilayan macam orang bodoh. Mereka (jururawat) sentiasa berfikir Orang Asli cacat pemikiran,” ujarnya dalam temubual dengan SemutHarian.

“Saya sering mendengar guru mengadu kanak-kanak Orang Asli kotor, berbau busuk dan bodoh. Mereka dihina guru dan ini menyebabkan mereka malu dan didiskriminasi.”

Siti Zabedah yang juga peguam hak asasi berkata, sikap tidak peduli para jururawat timbul kerana mereka tidak faham komuniti Orang Asli.

Namun demikian, beliau juga menegaskan bahawa penjagaan kesihatan memang sukar didapati komuniti Orang Asli dan ini menyebabkan mereka sering dilanda kesakitan.

“Kebanyakan kawasan di pedalaman hanya ada klinik dengan jururawat. Ia jarang dibuka. Dua tahun lalu, seorang ibu mengandung anak kembar mengalami kesakitan teruk.

“Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) punyai helikopter yang digunakan bagi mengangkut pesakit dari pedalaman ke hospital di Gombak. Ia dipanggil pada hari Jumaat bagi mengambil wanita itu, tetapi tidak datang. Hari Sabtu pun ia tidak datang dan wanita tersebut mati dengan kandungannya,” kata beliau.

Siti Zabedah mempersoal peruntukan RM2 juta yang diberi kerajaan kepada komuniti itu.

Katanya lagi, mereka sering terdedah wabak batuk kering kerana kurangnya perkhidmatan kesihatan.

“Bila mereka ingin bertemu doktor, mereka tidak dikuarantin tetapi sebaliknya diberi ubat dan dihantar pulang. Akhirnya mereka menemui kematian.”

Kisah jururawat tidak mahu melayan kumpulan Orang Asli terdedah dalam mesyuarat di antara wakil kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dr Dairius Puras dan Jalinan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Wakil JKOASM Shafie Dris berkata: “Kebanyakan jururawat kerajaan tidak mahu melayan pesakit Orang Asli kerana berasa mereka kotor dan tidak tahu adap.”

Shafie juga berkata masalah kesihatan di kalangan Orang Asli semakin merudum kerana tanah-tanih mereka yang merupakan sumber perubatan herba dirampas sesetengah pihak.

Berikutan dakwaan ini, Siti Zabedah mendakwa ia berlaku kerana kaum lelaki dari bangsa lain berkahwin dengan wanita Orang Asli.

“Saya ada dengar lelaki Melayu, Cina dan India mengahwini wanita Orang Asli dan mengusahakan tanah mereka. Ini terutamanya bagi bangsa Cina, yang mana ramai di kalangan mereka mengusahakan berekar tanah adat bagi agenda peribadi.

“Saya bukan rasis tetapi ia berlaku secara kerap.”

– Cecilia Jeyanthi Victor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here