sspkbnhambkKOTA TINGGI – Penahanan seorang lelaki di Kampung Tanjung Belungkor di sini hari ini, yang dipercayai suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya pada 23 Okt lepas, mengejutkan penduduk kampung berkenaan.

Pemilik kedai makan Sayda, Saari Ahmad, 47, berkata beliau tidak menyangka suspek akan ditahan di kampung itu lebih-lebih lagi kawasan berkenaan bukan ‘laluan tikus’ untuk mana-mana individu keluar atau masuk ke negara ini.

“Saya hanya mengetahui kejayaan penahanan itu kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada rakan dan pemberita. Tentulah saya terkejut kerana saya tidak dengar sebarang cakap-cakap mengenai penahanan itu sehinggalah dimaklumkan pihak media,” katanya.

Saari, yang tinggal dan berniaga berhampiran jeti nelayan sejak 20 tahun lepas, berkata beliau tidak melihat pergerakan keluar masuk polis ke kampung itu hari ini mahupun pergerakan mana-mana individu yang mencurigakan sebelum ini.

Katanya, terdapat kira-kira 20 rumah di situ dan kampung berkenaan juga mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi mengawasi keselamatan penduduk.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Norlela Mohd Shah, 40, berkata beliau juga tidak menyedari penahanan itu mungkin kerana disebabkan hari hujan.

“Pagi tadi hujan lebat sejak pukul 6.30 pagi sebelum berhenti pada kira-kira pukul 8 pagi. Saya juga tidak menyedari kehadiran polis ataupun orang luar yang mencurigakan kerana ramai orang luar, terutama pemancing, kerap mengunjungi kampung ini,” katanya.

Seorang nelayan, Wira Yahya, 47, berkata ada kemungkinan suspek cuba meloloskan diri menggunakan jeti nelayan di kampung itu untuk ke negara jiran memandangkan kedudukan kampung yang berhampiran dengan Pulau Batam, Indonesia.

“Setakat ini, tiada mana-mana orang atau pendatang asing dilihat menggunakan laluan di kampung ini untuk menyeludup keluar kerana kawasan kampung ini kerap dironda pihak berkuasa seperti polis marin dan kastam.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan untuk mereka menyelinap keluar dengan bot kecil kerana ada beberapa nelayan dan saya sendiri pernah kehilangan dua bot kecil beberapa tahun lepas, yang dipercayai dicuri mereka,” katanya yang menetap di kampung itu sejak 30 tahun lepas.

Polis hari ini mengumumkan kejayaan menahan suspek pada kira-kira 7 pagi tadi selepas bertindak atas maklumat Pasukan Cantas Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian 23 Oktober lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan ‘pump gun’ oleh suspek.

Suspek melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here