Rumpt Dukung Anak

Rumpt Dukung Anak
Rumpt Dukung Anak

Rupa bentuknya seakan rumpai menyebabkan ramai yang tidak ambil kisah tumbuhan herba ini, apatah lagi mudah diperoleh.

Namun, dukung anak adalah tumbuhan herba yang berguna dalam dunia perubatan khususnya merawat penyakit berkaitan buah pinggang dan hati seperti jaundis dan hepatitis.

Ia juga digunakan untuk merawat penyakit batu karang, malaria, asma, kencing manis, gigitan berbisa dan cirit birit.

Herba itu digunakan masyarakat di Afrika untuk memecahkan batu karang.

Kelebihan herba dukung anak ini mendorong penyelidik MARDI untuk melakukan kajian secara mendalam.

Kajian Timbalan Pe­ngarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi, Dr Indu Bala Jaganath bermula pada 2009.

Beliau dibantu lima rakan penyelidik se­perti Dr Sanimah Simoh, Dr S Shanmugavelu, Prof Dr Sharmala Devi, Dr Mohd Rosly Shaari dan M Chandradevan.

Penyelidikan menggunakan geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM1.5 juta itu sudah meraih lima anugerah.

Antaranya, pingat emas dalam Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2013, Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2013 di Seoul (perak), Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2013 (perak), Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE) 2012 (perak) dan perak bagi Anugerah Bio Inno 2013.

Dr Indu berkata, pemilihan dukung anak berikutan penggunaannya mengubati penyakit hepatitis.

“Kalau digunakan untuk hepatitis bermakna herba ini mengandungi anti virus,” katanya.

Menurutnya, bahagian pertama dalam penyelidikan itu ialah bagi mendapatkan formulasi herba untuk penyakit denggi.

“Saya bekerjasama dengan pensyarah Universiti Malaya (UM) Dr Sharmala yang juga pakar denggi,” katanya.

Katanya, hasil penyelidikan ke atas tikus mendapati dukung anak memiliki ciri anti kolesterol yang baik.

Katanya, ramai keliru dengan empat spesies dukung anak sedangkan setiap satunya mempunyai khasiat berbeza.

“Jika dilihat ia sama tetapi memang berbeza,” katanya.

Menurutnya, empat jenis herba itu dikenal pasti dengan melakukan piawaian untuk proses penanaman semula.

Proses seterusnya adalah untuk melakukan piawaian tanaman sebelum disusuli aktiviti peng­ekstrakan.

“Ia bagi melihat profail kimia dan jenis bahan aktif yang terdapat dalam setiap spesies.

“Kita juga mahu melihat daripada keempat-empat spesies itu yang manakah mempunyai kompaun bioaktif paling baik,” katanya.

Katanya, spesies Phyllanthus watsonii adalah yang terbaik dikalangan tiga dukung anak yang lain.

“Kami sudah melakukan ujian makmal dan mendapati kompaun bioaktifnya (Phyllanthus watsonii) sangat bermanfaat untuk kesihatan,” katanya.

Dr Indu juga melakukan penyelidikan untuk mengenalpasti aktiviti anti kolesterol.

“Ujian terhadap tikus yang mempunyai paras kolesterol tinggi me­ndapati apabila diberi ekstrak herba, paras kolestrol turun selepas beberapa minggu,” katanya.

Malah katanya, penggunaan bahan seperti lipidol boleh meningkatkan paras enzim, selain memberikan kesan negatif kepada kesihatan.

Katanya, beberapa syarikat sudah menunjukkan minat mendapatkan teknologi itu, antaranya Furley Bioextract.

“Furley Bioextract menghasilkan beberapa produk minuman berfungsi, penyembur tekak (throat spray), nutraseutikal dan biskut fiber.

“Semua produk ini mengurangkan dan mengelak risiko kolesterol dan agen anti-viral,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here