romantik

Ustazah, saya mohon penjelasan. Saya penuntut di sebuah IPT Malaysia. Saya jatuh cinta kepada seorang gadis sekuliah dengan saya. Saya amat tertarik kepadanya kerana dia wanita yang solehah, lemah lembut dan rupanya pun boleh tahan.

Persoalan saya bolehkah saya menyimpan dia sebagai awek saya (kekasih) kerana buat masa ini saya belum mampu berkahwin. Bila saya sudah bekerja dan mampu di sudut nafkah Insya Allah saya akan mengahwini dia. Saya tidak pasti berapa lama tempoh itu. Saya dalam dilemma, keliru untuk membuat keputusan, saya takut berada dalam dosa dan dalam masa yg sama takut dia terlepas ke tangan orang lain. Harap dapat bantu saya.

Remaja Dilema, Sarawak.
shahidah1

Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Guru Sek. Islam Hidayah

Timb. Ketua Wanita IKRAM Johor

Jawapan:

Syukran kepada remaja dilema. Saya berharap Allah SWT akan menghapuskan dilemma anda dengan berkat ibadah anda yang konsisten.

Bismillahirrahmanirrahim.

Cinta adalah fitrah (naluri semulajadi manusia). Perhatikan Firman Allah dalam Al Quran: Maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.ArRuum : 21

Sudah menjadi lumrah bahawa  manusia akan saling menyintai dan jatuh cinta. Al Marhum Syeikh Abdullah Nasih Ulwan berpendapat: Islam mengiktiraf cinta yang bersemi pada setiap individu dan Islam telah menggariskan tiga tahap cinta:

– Cinta agung: Cinta kepada Allah, Rasul dan Islam serta berjihad membuktikannya.
– Cinta pertengahan: cintakan sesama manusia: ibubapa, anak-isteri, kaum kerabat dan sahabat handai
– Cinta bawahan: menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan jihad.

Cinta jenis pertama dan kedua adalah mulia di sisi Allah, sementara cinta jenis ketiga adalah cinta yang tercela dan membawa dosa.
Persoalan sekarang bolehkah kita menyimpan perasaan cinta terhadapa seseorang yang tiada hubungan darah dengan kita?

Syeikh Atiyyah Saqr menjawab: kenapa tidak? Cinta adalah suci, cinta dibolehkan oleh syara’ asalkan tidak dikotori dengan qasad (niat) dan perbuatan kotor; ia mestilah selari dengan hukum-hukum  Islam yang lain dan ia hendaklah kerana cinta kita kepada Allah Taala.
Ketahuilah, cinta sejati boleh dibina sebelum berkahwin asalkan cinta yang direstui Allah, dilahir dan dipupuk melalui saluran agama. Islam tidak menentang cinta kerana cinta adalah makanan batin manusia, menjadi asas kepada pembentukan sebuah keluarga Islam yang harmonis.

Namun perlu diwaspadai, cinta tersebut hendaklah bermaksud kasih sayang kerana Allah, menyukainya kerana ia bakal isteri anda, kerana ia taat kepada Allah, perasaan itu hanya wujud dan disimpan di dalam hati, tidak diluahkan kepada pasangan melainkan sekadar perlu saja, dengan menjaga batas-batas akhlak sebagai remaja soleh yang memiliki jatidiri muslim.

Jika yang dimaksudkan cinta di sini dengan makna yang diterjemahkan oleh remaja hari ini, termasuk remaja muslim, mengucapkan kata cinta kepada kekasih mengatasi kata cinta kepada  Allah, maka itu sangat bahaya. Bahkan ada yang berkhalwat di tempat sunyi, memadu kasih dengan menatap dan merenung malah bersentuhan, berpegangan, adalah haram di sisi Allah.

Ada juga yang pandai bermain kata-kata , seperti kata lelaki “Saya menyintai awak lebih dari segala-galanya” ditakuti ungkapan itu melampaui had cinta kepada makhluk yang dibenarkan Allah, kerana seakan-akan dia cintakan pasangannya lebih dari cinta Allah, maka itu jua membawa dosa.

Anda boleh menyatakan perasaan anda dan hajat hati menyuntingnya kepada gadis bertuah itu dengan adab-adab yang sesuai, malah anda boleh menghantar rombongan meminangnya jika dipersetujui kedua-kedua pihak keluarga. Itu mungkin akan lebih menenangkan hati anda dan dia.

Namun berhati-hatilah wahai anakku kerana banyak di sana hadis-hadis Rasul SAW yang melarang pergaulan bebas lelaki dan wanita yang belum berkahwin, sekalipun mereka sudah bertunang selagi belum dinikahkan dengan akad yang sah demi menjaga maruah diri ummat Islam terutamanya wanita. Dalam tempoh itu anda boleh saling mengenal (bertaaruf) sebelum berkahwin, dengan cara yang sesuai dengan lunas-lunas agama kita yang suci.

Sayugia diingatkan jika pasangan ini ada keperluan untuk bertemu ia dibolehkan dengan syarat ditemani mahram yang boleh dipercayai seperti ahli keluarga yang telah baligh atau kawan-kawan yang berakhlak baik.

Kesimpulannya, mempunyai ‘awek’ adalah diharuskan, tetapi mestilah dipelihara hukum-hukum pergaulan seperti yang telah ditetapkan oleh Allah agar hubungan yang dibina akan memperoleh berkat dariNya. Kita menyaksikan hari ini betapa banyaknya rumahtangga yang dibina atas dasar cinta yang kononnya suci, tetapi dinodai dgn tindakan-tindakan pendurhakaan kepada Allah tidak dapat bertahan, sudah pasti kerana tiada redha dari Allah lantaran ia dibina atas maksiat kepadaNya.

Oleh itu saya menyeru pasangan yang ingin berkahwin, jalinkanlah hubungan anda atas dasar syariat Allah yang murni, kerana Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hal yang terbaik untuk hambaNya, termasuklah dalam hubungan sebelum berkahwin.

Aduhai remaja muslim, berbanggalah dengan agamamu, dengan segala ketetapan Allah ke atas dirimu dan binalah cinta atas dasar TAQWA!

Semoga rumahtangga yang dibina atas dasar taqwa ini akan membawa kebahagiaan buat anda dunia dan akhirat. Jangan sekali-kali terpesona dengan budaya orang kafir yang menghalalkan pergaulan bebas sebelum berkahwin, tetapi hilang rasa cinta sebaik saja berkahwin!

Marilah kita kembali kepada budaya hidup Islam seperti yang ditunjukkan oleh orang-orang soleh sebelum kita (Salafussoleh)…..

Wallahu ‘a’lam bissawab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here