sarjana muda Malaysia
Gambar Hiasan

aya tersepit dalam dilema: perlu menangis atau ketawa apabila saya diberitahu ada segelintir pelajar di England tidak mahu menghadiri ceramah tentang Palestin dan sejarah negara itu minggu lepas kerana bagi mereka, menghadiri untuk belajar tentang kezaliman terhadap yang tidak bersalah itu akan memberi impak negatif apabila mereka ingin memohon pekerjaan nanti.

Bagi saya, itu satu komedi yang tragis.

Oleh kerana saya benar-benar memandang serius tentang keadaan intelektual negara saya, saya mahu percaya, bahawa saya berhak untuk menulis surat ini kerana saya mengandaikan segelintir pelajar yang bermentaliti begitu sebaya dengan kamu.

Jadi, jika ada antara kamu yang terbaca surat terbuka ini, saya ingin bermula dengan bertanya:
Apakah definisi “kejayaan” bagi kamu?

Cuba takrifkan semula maksud “kejayaan” jika kamu juga berpendapat bahawa kejayaan bagi seorang sarjana muda ialah apabila kamu mendapat kerja dalam bilik yang berhawa dingin dengan gaji besar setiap hujung bulan.

Kenapa saya berharap kamu takrifkan semula?

Kerana saya rasa terganggu apabila saya berfikir tentang berapa ramai lagi orang yang berpelajaran yang egosentrik yang hanya fikir tentang dirinya, dirinya dan dirinya.

Kerana saya malu apabila saya berfikir tentang betapa mudahnya orang yang berpelajaran lembik jiwanya apabila berhadapan dengan pangkat dan nama.

Kerana saya marah apabila saya berfikir tentang betapa senangnya orang yang berpelajaran terikut-ikut dengan norma dan institusi mati.

Kerana saya rasa sengsara apabila saya berfikir tentang mulut orang yang berpelajaran yang meleleh air liurnya apabila dalam diam atau terang memuji si Mammon.

Kerana saya malu apabila saya terfikir betapa ramai lagi selera orang yang berpelajaran dipuaskan dengan penderitaan orang lain.

Kerana saya rasa sakit apabila saya berfikir tentang berapa ramai lagi orang yang berpelajaran yang akan meneruskan kitaran:

“khidmat orang dalam”;

“korupsi”

“si pengecut”; dan,

“penyelewengan intelektual”.

Jika kamu berpelajaran, sama ada kamu menganggap diri kamu bijak atau tidak, bagai mana sekalipun, jangan memilih untuk berada atas pagar. Jangan memilih untuk tidak ambil tahu. Jangan memilih untuk bersikap acuh tidak acuh.

Berada di universiti ialah masa dan peluang yang terbaik untuk kamu melatih diri sendiri untuk memiliki hidup yang bukan hanya didekasikan untuk makan, tidur dan membuang air.

Jangan hanya wujud di muka bumi ini. Kamu perlu hidup. Kamu perlu hidup dengan mula mainkan peranan-peranan kamu.

Menurut Jean Piaget: “Matlamat pendidikan itu sepatutnya melahirkan insan yang mampu memulakan sesuatu yang baru, bukan sekadar mengulang apa yang telah dilakukan oleh generasi sebelumnya; pendidikan sepatutnya melahirkan insan yang kreatif, berdaya cipta, yang boleh menjadi kritikal dan tidak mudah menerima apa saja yang ditawarkan kepadanya”.

Tidak kiralah apa yang kamu sedang belajar sekarang.

Jika kamu dilatih untuk menjadi seorang guru, pastikan kamu tidak sekadar mengajar dan memakai baju kurung sutera baru setiap hari – latih diri kamu untuk menjadi seorang pendidik yang menyedarkan anak-anak didik kamu dari kantuk yang panjang.

Jika kamu seorang pelajar jurusan undang-undang, pastikan kamu tidak menjadi seorang lagi Karpal Singh – latih diri kamu untuk buat sesuatu yang lebih hebat dari dia.

Jika kamu akan menjadi seorang jurutera – latih diri kamu untuk membaca sejarah.

Jika diri kamu akan menjadi seorang doktor – latih diri kamu untuk mempunyai masa untuk kehidupan lain selain di hospital.

Jika kamu akan menamatkan sarjana muda pengajian Islam, latih diri kamu untuk bergaul dengan mereka yang berada di luar lingkaran sosial kamu; dengan mereka yang hanya memakai kopiah sekali setahun, dengan mereka yang belum lagi berhijab atau bertudung labuh, dengan mereka yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.

Kenapa?

Kerana kamu,

Setiap satu di antara kamu,

Penting.

Sangat penting.

Jadi jangan tukar nilai diri kamu dengan wang.

Jangan takut dengan ketakutan kamu. Ketakutan kamu tidak berfungsi untuk menakutkan kamu.

Ia berfungsi untuk memberitahu kamu bahawa ada sesuatu yang berbaloi yang perlu dilakukan.

Pendidikan itu ialah satu kelegaan. Satu jalan untuk maruah diri.

Hormat diri kamu dengan tidak memijak hak-hak orang lain.

Hormat diri kamu dengan tidak mengangguk kepada apa-apa saja pun.

Kadang kala dalam hidup, kita perlu belajar geleng.

Walaupun akibatnya akan disalah erti.

Tapi jangan biar nilai kamu mati.

Hormat diri kamu dengan menghormati ilmu yang kamu ada.

Hormat diri kamu dengan menegakkan kebenaran.

Jika kamu berpelajaran namun tidak merasakan diri kamu seorang yang bijak, ketahuilah bahawa di mana kamu sekarang ialah tempat yang terbaik untuk kamu melatih diri kamu.

Kamu sedang dilatih untuk menjadi seorang yang berpelajaran, latih diri kamu sendiri untuk memastikan diri kamu menjadi ahli intelektual yang berfungsi, kerana kita telah mempunyai lambakan yang tidak berfungsi.

Komitedlah dalam mencari ilmu.

Dan pastikan emosi kamu juga komited dalam mencari ilmu.

Jangan ketinggalan dalam setiap diskusi ilmiah, program sebegitu tidak pernah membazir masa.

Laburkan sedikit masa untuk membaca tentang isu-isu serius, tentang Malaysia dan tentang dunia. Tentang kejayaan di barat dan kesengsaraan saudara-saudara kita di Palestin, di Rohingya atau Syria misalnya. Isu-isu tersebut bukan lagi isu agama, tapi isu kemanusia.

Bacalah tentang isu global dan lokal.

Supaya kamu jadi glokal.

Latih diri kamu untuk memberi pendapat yang berbeza dengan pendapat-pendapat tipikal.

Dan jika satu hari nanti kamu memanggil diri kamu seorang pakar, pastikan walaupun hanya pengetahuan umum, apa yang kamu tahu tidak sama dengan apa yang orang-orang kebanyakan tahu.

Dan jika satu hari nanti, sesiapa pun yang kamu pilih untuk jadi, sentiasa ingat bahawa kamu ialah seorang intelektual. Labellah bagai mana pun, seorang cikgu, doktor, jurutera, ahli bahasa, ustaz, wartawan, penari, pekerja sosial, peguam, pomen mahupun ahli politik- menjadi intelektual ialah apa yang kamu perlu jadi untuk hidup.

Kamu perlu cari makan dengan menjadi seorang intelektual semasa melakukan kerja-kerja mengajar, merawat pesakit dan sebagainya.

Meminjam kata-kata Edward Said, “peranan orang yang perpendidikan itu bukan lah untuk sentiasa bersetuju dengan pihak berkuasa, tetapi untuk memahami, menerangkan dan menyoal pihak berkuasa. Sebenarnya, peranan seorang intelektual itu ialah untuk membantu meringankan kesengsaran manusia lain dan tidak meraikan apa yang sudah terang lagi bersuluh tidak perlu diraikan”

Dan menurut dia, tiada apa yang lebih memalukan daripada:

“…habit-habit minda intelektual yang menggalakan lebih ramai lagi orang mengelak daripada sesuatu posisi yang sukar, walaupun dia tahu itu ialah kebenaran, tapi dia membuat keputusan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan. Dia tidak mahu untuk nampak terlalu politikal; dia cuak dengan kontroversi, dia perlukan kebenaran dari majikan atau pihak berkuasa kerana dia mahu menjaga reputasi sendiri untuk tampak sebagai seorang yang ‘adil’, ‘objektif’, ‘sederhana’ dan dia berharap akan ada orang yang menjadikan dia sebagai tempat rujukan supaya dia satu hari nanti menjadi ahli komiti yang gemilang, jadi dia memilih untuk tetap dalam ‘arus perdana’; dan satu hari nanti dia berangan untuk mendapat ijazah kepujian, hadiah lumayan dan mungkin berharap untuk menjadi duta”.

Jadi, tekankan pada diri kamu, jangan sesekali menghina ijazah kamu demi sesuap nasi.

Latih diri kamu sekarang. Sediakan diri kamu sekarang.

Sebab tidak lama lagi, kamu akan bergraduasi dengan apa yang Nelson Mandela anggap “alat yang paling berkuasa”: pendidikan.

Ilmu itu akan memberi peluang kepada kamu untuk melakukan perbezaan.

Kamu boleh melakukan perbezaan dan menyumbang sesuatu yang lebih baik kepada masyarakat Malaysia dan masyarakat dunia.

Percayalah, kamu boleh, dan kamu patut dan jika kamu cukup berani untuk mengambil langkah pertama, kamu akan melakukan perbezaan. – 12 Mei, 2014.

Terima kasih Prof Dr Syed Hussein Alatas kerana meninggalkan saya dengan tulisan-tulisan yang membuat saya rasa tertampar khususnya melalui buku Intellectuals in Developing Societies (1977). Al-fatihah.

* Terjemahan dari penulisan asal ‘An open letter to Malaysian undergrads’.

* Nadilla Jamil ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here