peragutaDua suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai

Dungun: Seorang gadis yang nekad mengejar dua peragut yang melarikan beg tangannya, berjaya menahan lelaki terbabit dengan bantuan orang awam selepas motosikal suspek terbabas di Jalan Yahaya Ahmad di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, Mazriezawani Abd Ghani, 23, yang cedera ringan selepas motosikalnya turut terbabas, sempat melepaskan geram ke atas suspek dengan menumbuk seorang daripada mereka.

Suspek berusia 18 dan 32 tahun diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mazriezawani yang ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pintasan di sini, berkata sebelum itu dia dalam perjalanan dari tempat kerja ke bandar ini untuk memberi barangan keperluan.

Setiba di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar untuk membuat pusingan U, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri motosikalnya sebelum meragut beg tangan dalam bakul motosikal.

Kejar suspek
Berikutan itu, kerani kedai menjual alat ganti kenderaan itu memecut motosikal mengejar suspek.

Dia yang pernah menjadi mangsa ragut pada Mac 2011, nekad mengejar motosikal suspek yang ditunggang melawan arus menghala Kuala Dungun, sambil meminta tolong orang ramai.

Mazriezawani menghampiri motosikal suspek dan cuba menendang tetapi gagal kerana pembonceng mengeluarkan pisau untuk menikamnya.

“Kira-kira 500 meter selepas itu, suspek memasuki simpang Kampung Tanah Lot yang menyebabkan motosikalnya terbabas dan terjatuh. Motosikal saya pun terjatuh.

“Alhamdulillah, saya hanya cedera ringan dan sempat menumbuk seorang peragut yang patah tangan kiri dan cedera di muka dan kaki kirinya,” katanya di rumahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here