Artis tersohor tanah air antara individu yang turut menyatakan sokongan secara terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan di blognya, mengakui dirinya berseorangan selepas beberapa siri mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon Rozita Che Wan, melalui laman Instagram mereka, secara terbuka menyatakan sokongan kepada mantan perdana menteri itu.

Siti Nurhaliza Sokong Mahathir

“Love u Tun & sentiasa bersama Tun..Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran &dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata dunia patut kita hargai serta contohi.

“Tiada yang muda kalau tidak kerana orang tua .. #sayaanakMalaysia #sebak,” kata Siti.

Dr Mahathir pada Isnin menulis: “Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah. Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya. Saya fikir jika diadakan soal jawab melalui TV tentulah kerana ingin beritahu rakyat, bukan saya sahaja.”

Siti memuat naik gambar Dr Mahathir berlatarbelakangkan logo 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun Instagramnya, dengan kata-katanya menghargai beliau, sejak 24 jam yang lalu dan setakat ini, ia menerima lebih 17,000 “likes” dan 664 komen.

Sementara Rozita, juga dikenali sebagai Che Ta, turut memuat naik gambar yang sama dengan kata-kata: “Tun tidak keseorangan.. kami sentiasa teguh di belakang….

“Tapi kami ni org marhein sapa nk dengaq soqa kami,” katanya dalam loghatUtara, membawa maksud, ‘kami warga marhaen, siapa hendak dengar suara kami.”Rozita Che Wan Sokong Mahathir

Pengguna Instagram dan peminat serta pengikut mereka ramai yang melontarkan komen menyokong.

Antaranya, pengguna dengan nama “azlanazizlegacy” yang memuat naik komen di Instagram Siti, menulis: “Rakyat bersama Tun…Dulu, kini & selamanya, we love Tun M!!!”, “herwinamuzriq” yang menulis: “I love Tun M”, serta “yusofzaim” yang memuat naik komen: “Tun M perwira org Melayu.”

Antara komen yang dapat dilihat terhadap status Che Ta yang menerima 10,359 “likes” itu termasuk daripada “fatinslittlekitchen” yang berkata: “Well said *rozitachewan1…sapa nak dengaq sora kami ni..cakap sikit teruih kena akta hasutan…mana perginya negara DEMOKRASI yg bermaksud ‘DIPERINTAH OLEH RAKYAT’? Haih..”

“Hanumjabar” melalui komennya turut berkata: “We will always be behind Tun. He is trying to save the country from being robbed by greedy politicians”.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam satu wawancara meyakinkan Dr Mahathir beliau tidak keseorangan dalam mempersoalkan kecelaruan pentadbiran Najib kerana katanya, majoriti senyap rakyat tetap bersama bekas perdana menteri itu.

Bekas naib presiden Umno itu, yang kini ahli PAS, berkata banyak persoalan yang masih gagal dijawab Najib walaupun kesemua sayap parti Melayu itu menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan.

“Dr Mahathir bukan sendirian. Majoriti besar mengikuti, dan apa yang ditanya Dr Mahathir belum dijawab, malah perdana menteri mencari penyokong untuk menunjukkan kekuatannya.

“Tak ada apa yang nak disorakkan sebenarnya. Saya rasa majoriti senyap ini memerhati dan mereka mendengar apa yang disuarakan Dr Mahathir,” kata Muhammad dalam wawancara bersama The Malaysian Insider.

Dr Mahathir pada Isnin, menerusi tulisan bertajuk “Soal Tak Jawab” mengakui dirinya bersendirian dalam mengkritik pentadbiran Najib khususnya dalam isu 1MDB.

“Hakikatnya wang 1MDB ada di mana masih tidak dijawab, kata Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik,” katanya menerusi blognya, chedet.cc

Dr Mahathir dilihat berterusan mengkritik pentadbiran Najib serta mempersoalkan tadbir urus kerajaan termasuk menyentuh isu membabitkan syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan yang dibebani hutang itu dan isu pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Susulan kritikannya, pemimpin Umno dari semua peringkat menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib.

Selain pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), sayap Pemuda dan Puteri Umno, serta bekas penjawat awam kanan kerajaan menyatakan pendirian mereka secara terbuka menyokong pentadbiran Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here