Zoo-Negara-KUALA LUMPUR: Zoo pada umumnya membolehkan orang ramai menikmati alam semula jadi tanpa perlu keluar dari bandar. Sifat paling penting zoo, selain daripada meningkatkan kehidupan warga kota, adalah meningkatkan kesedaran mengenai alam semula jadi supaya nasibnya disokong dan dipertingkatkan.

Malangnya Zoo Negara, yang terletak di atas sebidang tanah 110 ekar di Ulu Klang berhampiran Taman Melawati, 5 km dari pusat bandar, masih mengamalkan sikap acuh tak acuh mengenai kebajikan dan pemuliharaan haiwan.

Dilancarkan pada 14 November 1963, Zoo Negara – zoo pertama di negara ini dan mempunyai kira-kira 5,000 haiwan daripada lebih 450 spesies burung, reptilia, mamalia, amfibia dari seluruh dunia, serta 130 spesies makhluk akuatik – dilihat lebih sebagai hukuman mati kepada haiwan-haiwan yang dihantar ke sana.

Berbeza dengan laman web yang menjanjikan zoo berpendekatan terbuka dengan lebih daripada 90 peratus daripada haiwannya diletakkan dalam kurungan luas dengan landskap yang subur yang meniru habitat semula jadi, haiwan ini sebaliknya dikurung di dalam kandang kecil berlumpur dan sangkar kotor.

Sudah beberapa tahun, landskap bandar di sekeliling Zoo Negara, yang dipantau Persatuan Zoologikal Malaysia, telah menjadi sebuah metropolitan yang hiruk pikuk. Ini mungkin telah menjejaskan habitat semula jadi di kawasan ini, dan ini adalah sesuatu yang dikaji secara serius oleh pihak berkuasa.

Persoalannya, adakah mereka mahu Zoo Negara kekal di situ? Jika ya, mengapa landskap di situ yang disediakan bagi haiwan terus dimusnahkan atas nama pembangunan?

Pelawat ke Zoo Negara dikecewakan dengan keadaan haiwan yang tidak terurus dan hakikat bahawa kebajikan mereka tidak terjaga.

Orangutan, ungka dan harimau Sumatera dilihat tidak terjaga dan kekurangan zat makanan. Singa laut dan penguin juga kelihatan uzur, dan walaupun banyak zoo di negara-negara lain telah berhenti melakukan persembahan haiwan kepada pelawat, gajah di Zoo Negara masih dipaksa melakukan sedemikian sambil dirantai.

Bandingkan ini dengan gajah di Zoo Singapura dan zoo di Thailand yang boleh menendang bola secara bebas.

Walaupun zoo memberi perkhidmatan yang baik dari segi pemuliharaan spesies dari ambang kepupusan, nilai pemuliharaan dan pembiakan semula akan sia-sia jika habitat mereka luput.

Ia kelihatan seperti Zoo Negara telah diabaikan oleh pihak berkepentingan, “penaja” korporat dan pihak berkuasa.

“Saya terkejut melihat zoo itu dalam keadaan yang menyedihkan. Ia kotor, banyak sangkar kosong dan semua haiwan kelihatan begitu kurus dan uzur. Saya menangis apabila saya meninggalkan zoo,” kata Mary Beth, seorang pelancong dari Michigan.

“Zoo sepatutnya menjadi tempat di mana orang ramai boleh menyaksikan haiwan yang indah, belajar tentang hidupan liar dan pemuliharaan, dan menikmati pengalaman yang indah, tenang di celah-celah landskapnya,” katanya kepada theantdaily selepas melawat Zoo Negara baru-baru ini.

Pelancong Australia, Gale Anderson juga mempunyai pengalaman yang buruk di Zoo Negara.

“Zoo di Australia menjadikan usaha pemuliharaan keutamaan tertinggi mereka. Oleh itu, apabila isteri dan anak-anak saya melihat keadaan haiwan yang terabai dan uzur di Zoo Negara, mereka berjanji tidak akan mengunjungi mana-mana zoo lagi selepas itu,” katanya.

Seorang pekerja Zoo Negara yang tidak mahu dikenali memberitahu theantdaily yang zoo itu tidak memiliki “pakar” sebenar atau doktor haiwan yang terlatih dalam pengendalian dan penjagaan hidupan liar. Hanya seorang doktor haiwan umum yang bertanggungjawab ke atas kebajikan haiwan eksotik di sana.

Ini mengejutkan kerana sebab utama kewujudan sesebuah zoo adalah untuk menyampaikan pemahaman alam semula jadi kepada pelawat dengan cara yang berkesan. Jadi mengapa pentadbiran zoo ini tidak menggaji doktor haiwan yang terlatih dalam penjagaan haiwan liar eksotik?

Pekerja itu juga berkata bahawa makanan yang diberikan kepada haiwan kebanyakannya adalah sisa-sisa kerana makanan yang disediakan untuk haiwan diambil oleh beberapa kakitangan zoo. Tambahan pula, “penjaga” di zoo tidak mempunyai pengetahuan kerana mereka tidak dilatih untuk mengendalikan haiwan dibawah jagaan mereka.

Jadi, apa sebenarnya yang sedang berlaku di zoo negara kita? Mengapa tiada sesiapa melakukan apa-apa mengenainya?

Sebaliknya, mereka membawa masuk lebih banyak lagi haiwan eksotik seperti dua panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi dari China. Kita berharap mereka tidak akan berkongsi nasib yang sama seperti haiwan-haiwan yang telah menjalani “hukuman mati” di Zoo Negara.

Sama seperti zoo yang boleh memberi kesan terhadap pandangan orang ramai mengenai haiwan dan alam semula jadi, orang ramai juga boleh memberi kesan terhadap pandangan mengenai zoo. Golongan awam yang memiliki maklumat akan menyokong kerja-kerja baik yang dijalankan zoo, dan menghentikan yang tidak baik.

Adalah mudah untuk melihat adanya kepentingan bagi sesebuah zoo untuk wujud selari dengan usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh bandar ia berada. Malangnya, ini tidak berlaku di Zoo Negara.

– Ace Emerson

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here